Friday, March 18, 2011

Tokoh 6-Al-Biruni

SUMBANGAN, PERANAN DAN PENCAPAIAN TOKOH-TOKOH ISLAM


Al-Biruni

Nama sebenar beliau ialah Abu Rayhan Muhammad bin Ahmad al-Biruni daripada keluarga Tajik. Beliau dilahirkan pada tahun 362 Hijrah bersamaan 973 Masihi di Birun, ibu negara Khawarizm atau lebih dikenali sebagai Turkistan. Menurut kitab al-Ansab yang ditulis oleh Sam’ani dan kitab Mu’jam al-Buldan yang ditulis oleh Ya’qut al-Hamawi, penduduk Khawarizm memanggil orang asing sebagai biruni (dalam bahasa Parsi). Maka atas alasan inilah yang menyebabkan Abu Rayhan dikenali sebagai al-Biruni kerana beliau merupakan orang asing bagi penduduk Khawarizm. Sarjana lain menyatakan beliau bukan dilahirkan di Khawarizm, tetapi di Birun, iaitu sebuah bandar di luar Kath. Bandar Khawarizm terletak 20 farsakh (60 km) dari Kath yang menjadi ibu kota kerajaan pemerintahan putera-putera Ma’muniyah. Oleh itu ada kemungkinan apabila Khawarizm menjadi ibu kota Ma’muniyah, maka penduduk Kath yang berhijrah ke bandar itu digelar biruni. Oleh kerana Abu Rayhan orang yang lebih terkenal di kalangan mereka, maka gelaran ini diberikan kepadanya. Beliau turut digelar ‘Khawanizini’ kerana nama kawasan itu juga dipanggil Khawanizin. Gurunya yang terawal ialah Abu Nasr Mansur ibn Alt ibn Iraqin yang juga merupakan seorang pakar ilmu matematik dan alam.

Secara tidak langsung kepakaran Al-Biruni dalam pelbagai bidang dan meletakkan diri beliau antara sarjana yang teragung dalam dunia Islam. Minat dan kecenderungan untuk mempelajari serta memperluaskan dimensi ilmu pengetahuan mendorong beliau merantau ke luar negara. Walaubagaimanapun, beliau ditawan oleh Sultan Mahmood Al-Ghaznawi semasa berada di India dan ditugaskan di istana sebagai seorang ulama. Kesempatan berada di India tidak dipersia-siakan, beliau menggunakan kesempatan tersebut dengan mempelajari bahasa Sanskrit dan bahasa lain di India. Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengenali agama Hindu dan falsafah India. Buktinya beliau telah menulis beberapa buku yang berkaitan dengan masyarakat India dan kebudayaan India. Dalam satu tulisannya, beliau menyatakan bahawa ajaran Hindu berasaskan konsep penjelmaan yang mempunyai persamaan dengan syahadah Tauhid dalam Islam dan triniti dalam agama Kristian.
           
Tembok penjara tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus menuntut dan menghasilkan karya-karya yang besar dalam pelbagai bidang. Sumbangannya kepada ilmu dan peradaban India amat besar. Sumbangannya yang paling penting ialah dalam penciptaan kaedah penggunaan angka-angka India dan kajiannya mencari ukuran bumi menggunakan kiraan matematik. Beliau juga telah berjaya menghasilkan satu daftar yang mengandungi peta dan kedudukan ibu-ibu negara di dunia. Semasa berada dalam tawanan itu, Al-Biruni juga menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan hubungan antara para ilmuan sekolah tinggi Baghdad dan para sarjana Islam India yang tinggal dalam istana Mahmud al Ghaznawi. Selepas dibebaskan, beliau telah menulis sebuah buku yang berjudul Kitab Tahdid al Nih-ayat al Amakin Lita'shih al Masafat al Masakin. Di samping itu, beliau turut mendirikan sebuah pusat kajian astronomi mengenai sistem solar yang telah membantu perkembangan pengajian ilmu falak pada tahun-tahun yang mendatang. Kajiannya dalam bidang sains, matematik, dan geometrik telah menyelesaikan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.
           
Penguasaannya terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dan bidang telah menyebabkan beliau digelar sebagai "Ustaz fil Ulum" atau guru segala ilmu. Penulisannya tentang sejarah Islam telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul "Chronology of Ancient Nation". Banyak lagi buku tulisan Al-Biruni diterbitkan di Eropah dan tersimpan dengan baiknya di Museum Escorial, Sepanyol. Sepanjang hidupnya beliau telah menghasilkan lebih 150 buah buku termasuk satu senarai kajian yang mengandungi 138 tajuk. Karyanya yang terbesar ialah Sina’at al-tanjim (seni astronomi). Antara buku lain ialah Al-Jamahir fi al-Jawahir yakni mengenai batu-batu permata; Al-Athar al-Baqiah berkaitan kesan-kesan lama tinggalan sejarah dan Al-Saidalah fi al-Tibb, tentang ubat-ubatan. Karya ini dikatakan karyanya yang terakhir sebelum meninggal dunia pada 1048M. Beliau meninggal dunia pada 1048 Masihi bersamaan 440Hijrah ketika berusia 75 tahun.

Para penulis riwayat hidup menggambarkan ilmuan itu tidak pernah melepaskan pena dari tangannya, atau mengalihkan mata dari sebuah buku, dan fikirannya selalu terarah pada pembelajarannya. Saat ia menanggung bisa kesakitan di ranjang menjelang kematiannya, seorang ahli fiqih datang menjenguknya. Al-Biruni dengan segala penyakit dan penderitaannya menganggap bahawa ini merupakan kesempatan baik baginya untuk menanyakan berbagai masalah yang berkaitan dengan hukum, lalu dia pun menanyainya. Ahli fiqih itu terkejut menyaksikan perbuatannya, lalu berkata, ‘Saya fikir saat ini bukan waktunya bagi anda untuk bertanya dan membahas ilmu pengetahuan.’ Al-Biruni dengan suara lemah menjawab, ‘Aku berfikir akan lebih baik sekiranya aku mengetahui masalah ini kemudian aku meninggal dunia, daripada aku tidak mengetahuinya kemudian meninggal’. Islam sangat mendorong penganutnya belajar dan menguasai ilmu pengetahun. ‘Tuntutlah ilmu sejak buaian ibu hingga ke liang lahad,’ demikian pesanan Nabi Muhammad saw yang mengisyaratkan bahawa menuntut ilmu bagi seorang Muslim tidak pernah mengenal akhir.

Kejayaan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini turut mendapat pujian ilmuwan Barat. Max Mayerhof misalnya menyatakan, "Abu Raihan Muhammad ibn Al-Biruni digelar sebagai ahli kedoktoran, astronomi, matematik, ilmu fizik, geografi , dan sejarah. Beliau mungkin sesuai dan paling menonjol dalam peneraju zaman keemasan ilmu pengetahuan Islam." Pengakuan yang sama juga dinyatakan oleh ahli sejarah asal India, Si JN Sircar. Beliau menulis "Hanya sedikit yang memahami fizik dan matematik. Di antara yang sedikit itu yang terbesar di Asia adalah Al-Biruni, sekaligus ahli falsafah dan ilmuwan. Beliau pakar dalam kedua bidang tersebut.” Beliau adalah antara orang yang pertama meletakkan asas kepada trigonometri moden. Al-Biruni merupakan ahli falsafah, ahli geografi, astronomi, fizik dan ahli matematik. Selama 600 tahun sebelum Galgeo, beliau  telah membincangkan teori putaran bumi tanpa paksinya yang sendiri. Beliau juga telah menggunakan kaedah Matematik untuk membolehkan arah kiblat ditentukan dari mana-mana tempat di dunia.

Terdapat banyak sumbangan Al-Biruni dalam bidang ilmu dan falsafah khususnya. Antaranya adalah penciptaan kaedah penggunaaan angka-angka India dan kajiannya untuk mencari ukuran bumi menggunakan kiraan matematik. Selain itu, beliau menghasilkan satu daftar yang mengandungi peta dan kedudukan ibu negara di dunia. Al- Biruni juga mendirikan pusat kajian astronomi mengenai sistem solar yang membantu ilmu-ilmu falak pada masa akan datang. Kajian beliau dalam bidang sains, matematik, geomatik telah menyelesaikan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Antara sumbangan besar Al-Biruni dalam bidang Matematik termasuklah teori dan amali aritmetik, penjumlahan siri, analisis kombinatorik, peraturan tiga, nisbah (irrational numbers), teori nisbah, definisi algebra, kaedah untuk penyelesaian persamaan algebra, geometri, teori Archimedes dan juga pembahagian tiga sama sudut. Sumbangan  Abu Raihan Al-Biruni bukan terhenti kepada bidang Matematik sahaja. Antara hasil kerja dan karyanya yang bukan bidang matematik termasuklah Kajian kritis mengenai apa yang telah dikatakan oleh India, baik diterima mengikut pemikiran atau tidak, Sari pati agama dan falsafah India, Tanda-tanda tinggal abad-abad yang lalu, kajian perbandingan kalendar-kalendar pelbagai budaya dan peradaban, berjalin maklumat matematik, astronomi dan sejarah, Daftar karya Mas’udi  sebuah buku mengenai Astronomi, Geografi dan Kejuruteraan, yang didedikasikan dan dinamai sempena nama Mas’ud, anak lelaki kepada Mahmud dari Ghazni, Memahami Astrologi, Buku soal-jawab mengenai matematik dan astronomi, dalam bahasa Arab dan Persia, Farmasi mengenai drug dan ubat, Permata  mengenai geologi, mineral dan permata, yang didedikasikan kepada Mawdud, anak lelaki kepada Mas’ud, Astrolabe, buku sejarah ringkas, Sejarah Mahmud dari Ghazni serta ayahandanya dan juga Sejarah Khawarazm.

Keilmuannya Al-Biruni tidak dapat disangkal lagi. Antara pencapaian Al-Biruni ialah ketika berusia 17 tahun, dia mengira latitud bagi Kath, Khwarazm, dengan menggunakan altitud maksima matahari. Ketika beliau berusia 22, beliau menulis beberapa hasil kerja ringkas, termasuk kajian unjuran pemetaan (map projections), “kartografi”, yang termasuk pengkaedahan untuk membuat unjuran hemisfera pada satah matematik (plane mathematics). Ketika berusia 27 tahun, beliau  telah menulis buku bertajuk “Kronologi” yang merujuk kepada hasil kerja lain yang dihasilkan oleh beliau termasuk sebuah buku berkenaan astrolabe, satu berkenaan sistem perpuluhan, empat buku berkenaan astrologi, dan dua berkenaan sejarah. Selain itu juga beliau membuat pengiraan jejari bumi kepada 6,339.6 kilometer (hasil ini diulang di Barat pada abad ke-16). Hasil karya Al-Biruni mencecah melebihi 120 buah kitab. Karya agungnya ialah Rasa’ll al-Biruni, sebuah ensiklopedia astronomi dan mathematik. Kejayaannya yang terpenting ialah menentukan musim dan pasang sudut air laut, menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi, mencipta jam dan kalendar, mencipta rumus trigonometri dan mencipta alat menyukat ketumpatan.

Al-Biruni banyak memperoleh ilmu pengetahuan daripada seorang Putera Raja Parsi, iaitu Abu Nasr Mansur bin Ali Jilani, pakar matematik dan astronomi. Keluarga Abu Nasr begitu mengambil berat tentang al-Biruni. Beliau merupakan sarjana agung pada akhir abad ke-4H/10M dan pakar dalam bidang astronomi, sejarah dan bahasa. Beliau hidup sezaman dengan Ibnu Sina. Sebagai seorang yang dahagakan ilmu, beliau tidak suka membuang masa. Sepanjang hayatnya ditumpukan kepada bidang penyelidikan dan penu­lisan. Dengan itu, beliau dapat menguasai dua buah tamadun besar pada ketika itu iaitu tamadun Arab dan tamadun Yunani. Beliau mempunyai hubungan erat dengan para intelek Islam dan Kristian. Seorang daripadanya ialah Abu Sahl Masihi (ahli flzik Kristian). Beliau juga berhubung rapat dengan para saudagar Kristian Syria, tujuannya adalah untuk mempelajari nama-nama orang Yunani serta sebutan dan ejaan istilah perubatan yang betul.

Selain itu, Al-Biruni bukan sahaja dapat menguasai bahasa Sanskrit dengan baik bahkan bahasa Ibrani dan Syria. Beliau yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan falsafah Yunani menjadikannya antara salah seorang sarjana agung dalam dunia Islam. Selain itu, beliau juga berjaya membuktikan bahawa gandingan falsafah dan ilmu pengetahuan dengan agama terus hidup subur. Seterusnya berkembang serta membantu selesaikan permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia.

Sebelum ke India, Al-Biruni sering menjalinkan hubungan dengan Ibnu Sina. Keadaan ini menjadi bukti pengiktirafan ilmuwan Islam lain terhadap ketokohan dan kesarjanaannya. Sekali gus menjadikan beliau seorang ahli falsafah Islam yang serba boleh dengan sumbangan yang telah memberikan manfaat yang besar kepada manusia seluruhnya. Dalam masa yang sama, beliau juga membuktikan bahawa golongan ahli falsafah bukan merupakan golongan yang sesat dan hidup di awang-awangan. Sebaliknya mereka merupakan golongan ilmuan yang perlu diberi pengiktirafan. Peranan dan kedudukan mereka amat besar dalam pembinaan tamadun Islam serta peradaban manusia. Sesungguhnya kemunculan Al-Biruni sebagai tokoh ilmuan tersohor telah mengangkat martabat ahli falsafah daripada terus diberikan pelbagai stigma dan label yang berbentuk negatif serta merubah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ahli falsafah itu sendiri.

1 comment:

  1. Dari mana info ini?
    boleh bagi sumbernya tk?
    ada tugasan sedikit.

    ReplyDelete