Friday, March 18, 2011

Tokoh 4-Al-Ghazali

SUMBANGAN, PERANAN DAN PENCAPAIAN TOKOH-TOKOH ISLAM


Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "Hujjat Al-Islam" dan “Zayn Ad-Din”.

Namanya yang sebenar ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Al-Tusi. Beliau dilahirkan pada tahun 450 H bersamaan dengan 1058M di Tabaran, iaitu sebuah kota di daerah Tus yang terletak dalam negeri Khurasan. Beliau juga terkenal dengan gelaran Al-Naysaburi. Beberapa gelaran diberikan kepadanya bukan sahaja menggambarkan penghormatan tinggi masyarakat terhadap sumbangannya dalam bidang keilmuan tetapi juga melambangkan pengiktirafan mereka terhadap ketokohannya yang luar biasa berbanding dengan tokoh-tokoh lain. Ketokohan beliau tidak dinafikan lagi sehingga ada sarjana yang menggelar beliau sebagai “the greatest Muslim” selepas Nabi Muhammad S.A.W.

Al-Ghazali berasal dari keluarga yang berkedudukan sederhana dalam masyarakat yang menekankan aspek penghayatan ajaran Islam. Bapanya bekerja sebagai penenun bulu binatanguntuk dibuat pakaian yang kemudiannya dijual di kedai-kedai di Kota Tus, Khurasan. Bapanya seorang lelaki yang soleh, ahli tasawuf yang tidak memakan melainkan daripada hasil kerjanya sendiri yang diusahakannya. Berdasarkan sumber-sumber sejarah, Al-Ghazali adalah berbangsa Parsi walaupun sebahagian besar daripada bukunya ditulis dalam Bahasa Arab.

Beliau mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Ahmad dan beberapa orang saudara perempuan. Al-Ghazali telah kehilangan bapanya sejak kecil lagi. Sebelum bapanya meninggal dunia, beliau mewasiatkan seorang rakannya supaya menjaga dan mengajar ilmu Khat kepada dua orang anaknya, di samping mengawasi mereka dalam menuntut ilmu pengetahuan. Rakan bapanya itu diberikan sedikit harta peninggalan untuk tujuan perbelanjaan kedua-dua mereka. Setelah harta itu habis dibelanjakan, maka  penjaga tersebut menyarankan agar kedua-dua mereka meneruskan pengajian di madrasah yang memberikan biasiswa kepada pelajarnya.

Pada tahun 1070 Al-Ghazali dan adiknya berhijrah ke Gurgan untuk belajar di sebuah madrasah. Al-Ghazali membesar dan mendapat pendidikan yang sempurna daripada tokoh-tokoh ulama yang terkemuka pada ketika itu. Di sana, beliau mempelajari ilmu fiqh dari seorang ulama yang bernama Ahmad ibn Muhammad Radkhani dan Abu’l Qasim Jurjani. Setelah belajar selama tujuh tahun, Al-Ghazali pulang ke Tus. Beliau telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun dan dikurniakan empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Gelaran “Abu Hamid” yang terdapat pada pangkal namanya adalah sempena nama anak lelaki tunggalnya, “Hamid” yang telah meninggal dunia ketika masih kecil.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada zamannya. Beliau telah mengembara ke Naysabur, Al-‘Askar (Iraq), Mesir, dan ke Damsyik, Syria. Pengembaraannya ke Naysabur pada sekitar tahun 1800 bersama-sama suatu kumpulan pelajar dari negerinya telah menemukannya dengan tokoh ulama terkenal pada masa itu, iaitu Abu'l Ma'ali Juwayni yang dikenali sebagai Imam Al-Haramayn. Al-Ghazali kemudiannya berguru dengan ulama terkenal itu sehinggalah gurunya meninggal dunia pada tahun 478H bersamaan dengan 1085 M.

Setelah kematian Al-Juwayni pada tahun 1085M, Al-Ghazali meneruskan pengembaraannya ke Al-‘Askar, Baghdad. Di sana, beliau bertemu dengan menteri yang bernama Nizam Al-Mulk, seorang tokoh pembesar berketurunan Bani Saljuk yang amat mengambil berat tentang kegiatan intelektual. Nizam Al-Mulk telah memberikan penghormatan tinggi terhadap kedatangan Al-Ghazali. Beberapa majlis perdebatan dan dialog diadakan antara beliau dengan kalangan bijak pandai di sana bagi menilai ketinggian dan kematangan ilmunya. Ternyata bahawa Al-Ghazali bulan calang-calang orang, dan beliau mampu mengatasi kalangan cendekiawan tempatan pada masa itu. Nama beliau menjadi sebutan masyarakat di sana. Menteri Nizam Al-Mulk melantiknya sebagai profesor di Madrasah Al-Nizamiyyah, Baghdad pada bulan Jamadil Awwal, 484 H. Madrasah ini adalah satu-satunya institusi pendidikan yang amat terkenal di Baghdad pada ketika itu dan diasaskan oleh Nizam Al-Mulk kira-kira 25 tahun sebelum pelantikannya ke jawatan tersebut. Penduduk tempatan amat berbangga dengan Al-Ghazali kerana ketinggian ilmunya.

Penghijrahan Al-Ghazali ke Al-‘Askar telah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Di sana beliau terlibat secara langsung dengan kegiatan pengajaran. Menurut Ibn Al-‘Arabi, kuliah yang disampaikan oleh Al-Ghazali dihadiri oleh 400 orang pelajar yang termasuk di antaranya ialah kalangan tokoh besar ulama pada masa itu. Walaupun telah bergelar mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal disana.

Sepanjang hayatnya, Al-Ghazali telah melalui dua peringkat kehidupan yang penting. Pada peringkat awlnya, beliau cenderung melibatkan diri dalam semua disiplin ilmu yang berbentuk teoretikal (al-‘ulum al-nazariyyah) seperti ‘Ilm Al-Kalam, ‘Ilm al-Fiqh, dan Falsafah. Beliau mengkaji secara mendalam aliran-aliran mazhab ‘Ilmu al-Kalam bagi memahami aliran mazhab mereka. Selepas Nizam Al-Mulk yang menjadi pelindungnya dibunuh oleh salah seorang pendukung aliran mazhab al-Isma’illiyyah yang fanatik, Al-Ghazali mula mengkaji pula aliran mazhab al-Isma’illiyyah secara kritikal bagi mengkritik dan menyangkal aliran bercorak kebatinan tersebut.

Peringkat kedua kehidupannya bermula apabila beliau memulakan kehidupan yang bercorak kerohanian, iaitu selepas beliau mengalami perasaan syak terhadap beberapa asas pemikiran yang dimilikinya. Peringkat ini bermula kira-kira pada tahun 488H bersamaan dengan 1095 M. Al-Ghazali terpaksa melepaskan jawatannya sebagai tenaga pengajar  di Madrasah al-Nizamiyyah, Baghdad selepas berkhidmat kira-kira empat tahun . tempat beliau di ambil alih oleh saudaranya, Ahmad. Beliau kemudiannya mula mengasingkan diri daripada masyarakat umum. Antara tujuannya berbuat demikian adalah untuk memikirkan secara kritis dan melihat kembali ilmu-ilmu yang dimiliknya sebelum ini.

Beliau menghabiskan masa selama 11 tahun beruzlah secara tenang dan menjalani kehidupan sebagai seorang ahli ibadat, seorang zuhud, dan ahli sufi yang sentiasa melakukan amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah S.W.T. Dalam tempoh uzlah tersebut, yang kebanyakkannya dihabiskan di Syria, beliau berjaya menghasilkan karya terkenalnya iaitu kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din. Di samping itu, beliau juga sempat mengerjakan ibadah haji di Mekah dalam tempoh tersebut, iaitu pada bulan Zulkaedah tahun 488 H bersamaan 1095 M.

Setelah mengeembara buat sekian lama, beliau kemudian kembali semula ke kampung halamannya di Tus, Naysabur dan atas pujukan Sultan Mahmud Al-Saljuqi, yang menaiki takhta pada tahun 498 H bersamaan dengan 1104M dan menterinya, Fakhr al-Mulk ibn Nizam al-Mulk, Al-Ghazali mengajar semula di Madrasah Al-Nizamiyyah untuk beberapa waktu sehinggalah beliau menginggal dunia kira-kira lima tahun selepas itu. Al-Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir di Tabran pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir, 505 H, kira-kira bersamaan dengan 19 Disember 1111M, ketika berusia 55 tahun. Diriwayatkan bahawa pada hari-hari terakhir kehidupannya, beliau anyak menumpukan perhatian kepada usaha mempelajari disiplin ilmu Hadis dan menghafaz hadis-hadis yang terdapat dalam kitab Bukhari dan Muslim, selain memperbanyakkan bacaan Al-Quran.

Sejak kecil lagi, beliau telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah S.W.T. Imam Al-Ghazali adalah seorang merupakan ahli fikir Islam yang telah meninggalkan jasa yang dapat di nilai melalui hasil-hasil karyanya. Hasil karya beliau yang terkenal ialah “Ihya Ulumiddin” yang merangkumi ilmu akidah, fikah, falsafah, akhlak dan tasawuf. Kitab "Ihya Ulumiddin" yang ditulis olehnya  memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan pemikiran Islam dalam semua masalah yang mana masih menjadi rujukan pada masa kini.

Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Segala hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah Waliyullah.

Kebanyakkan hasil-hasil karya Imam Al-Ghazali berbentuk falsafah. Oleh hal yang demikian pengkaji-pengkaji Barat menganggap, Imam Al-Ghazali adalah seorang ahli falsafah. Antara hasil-hasil karya beliau yang lain termasuklah Al-Munqiz Min ad-Dalal, Mizanul-amal, Tahafut al-Falasifah, Hidayah Al-Salikin, Jawahir Al-Quran, Minhaj al-Abidin, Asma Allah al-Husna, Ayyuha al-Walad dan Kimia as-Sa’adah.
Menurut Al-Ghazzali falsafah secara ringkasnya dikatogerikan kepada enam aspek penting iaitu matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Logik merupakan suatu ilmu hujah, pendalilan serta pembuktian. Sumbangan Al-Ghazzali dalam bidang ini dapat dilihat dalam 2 bentuk iaitu dari aspek pengajaran dan penulisan. Kedua-dua bentuk sumbangannya menerusi dua kegiatan ini telah memainkan peranan penting dalam usahanya untuk memantapkan Logik sebagai displin ilmu yang boleh digunakan sebagai alat untuk membahaskan ilmu-ilmu Islam.
Beliau mampu menguasai bidang ini walaupun tidak dibimbing secara khusus oleh mana-mana guru yang berketokohan dalam bidang ini. Namun, al-Juwaynilah satu-satunya guru yang memberikan pendedahan awal kepadanya tentang asas pemikiran Logik. Al–Ghazzali mengambil inisiatif sendiri mengkaji displin ini menerusi pembacaannya terhadap karya- karya falsafah.

Peranan Logik dapat dijelaskan lagi melalui 3 hasil karya ilmiahnya iaitu Mi’yar
al-‘Ilm fi al-Mantiq, Mihak al-Nazar dan Al-Qistas al-Mustaqim. Kitab Mi’yar adalah karya terunggul Al-Ghazzali. Penghasilan karyanya ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri, khususnya bagi menjelaskan komitmen beliau terhadap Logik sebagai suatu neraca ukuran atau piawai bagi ilmu pengetahuan. Al–Ghazzali telah menilai Logik sebagai neraca ukuran bagi kegiatan berfikir yang dilakukan oleh manusia, khususnya bagi membezakan pemikiran yang betul dengan yang terpesong dari asas kebenaran.

            Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam dan umatnya. Mereka kehilangan seorang tokoh unggul yang berjasa besar dalam mempertahankan prinsip-prinsip ajaran yang diwarisi mereka sejak zaman-berzaman. Kemuncullannya adalah membenarkan hadis Rasulullah S.A.W yang menyatakan bahawa Allah S.W.T akan membangkitkan seorang yang akan mentajdidkan urusan agama umat-Nya pada setiap seratus tahun. Beliau adalah tokoh mujaddid kurun kelima hijrah.
 

No comments:

Post a Comment