Friday, March 18, 2011

Kepentingan Elemen-elemen yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru

            Falsafah Pendidikan Guru dirangka untuk membentuk guru yang berkualiti selaras dengan objektif pendidikan kebangsaan. Dalam Falsafah Pendidikan Guru, terdapat beberapa aspek atau ciri kualiti yang ingin dibentuk dalam diri guru yang berperanan sebagai agen perubahan kepada generasi masa hadapan. Antaranya ialah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menyanjung warisan kebudayaan negara, menjalin perkembangan individu, memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, memelihara suatu masyarakat yang demokratik, memelihara suatu masyarakat yang progresif dan memelihara suatu masyarakat yang berdisiplin.
Elemen yang pertama iaitu berpekerti mulia. Pekerti yang mulia merujuk kepada sahsiah seseorang guru. Guru yang bertindak sebagai agen perubahan pelajar perlu terlebih dahulu menunjukkan sahsiah yang baik supaya murid dapat mencontohi keperibadian guru. Antara sahsiah  yang boleh ditonjolkan ialah seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin dan bermoral. Sekiranya seorang guru tidak menunjukkan disiplin yang mantap misalnya merokok dalam kawasan sekolah, sudah semestinya menjadi teladan yang tidak baik untuk pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar yang baru meningkat dewasa mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling.
Jadi sekiranya guru merokok di kawasan sekolah, pelajar akan turut sama melanggar disiplin sekolah dengan menghisap rokok. Mungkin budaya merokok dianggap mudah tetapi budaya inilah yang akan mendorong pelajar-pelajar untuk melakukan lebih banyak masalah di sekolah seperti gangsterisme dan vanderlisme. Kebelakangan ini banyak terjadi kes-kes yang melibatkan guru, contohnya guru mencabul pelajar di sekolah. Hal-hal sebegini tidak seharusnya berlaku sekiranya guru mempunyai pekerti yang baik. Guru berperanan menjadi contoh teladan kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama telah memusnahkan kepercayaan pelajar itu terhadap guru. Justeru, bagaimanakah aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru mampu tercapai. Maka, elemen pekerti yang mulia dalam kalangan guru diterapkan dalam Falasafah Pendidikan Guru supaya aspirasi negara dapat dicapai.
Elemen kedua iaitu berpandangan progresif dan saintifik. Progresif dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sentiasa bergerak maju dan bertujuan untuk mencapai kemajuan, manakala saintifik pula bermaksud suatu kaedah yang teratur atau bersistem. Selaras dengan matlamat wawasan 2020 yang dihuraikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu bagi mewujudkan masyarakat saintifik yang progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Seorang guru mestilah bergerak maju dan bersistem atau dengan kata lain seorang guru perlu berkembang mengikut peredaran zaman yang kini memberi penekanan kepada sains dan teknologi.
Dunia tanpa sempadan memaksa guru-guru bersifat progesif tetutama untuk mendidik pelajar-pelajar di sekolah. Contohnya, jika zaman dahulu, pelajar hanya mengharapkan bimbingan dari guru dalam pelajaran tetapi dengan kemajuan teknologi masa kini, pelajar boleh belajar walaupun tidak ada guru untu memantau. Guru juga mudah untuk mencari maklumat dengan menggunakan teknologi. Sebaliknya jika seorang guru itu tidak progresif selaras dengan kemajuan negara, sudah pasti guru tersebut akan ketinggalan dalam bidang perguruan itu sendiri. Seorang guru yang progresif dan saintifik mestilah bergerak seiring dengan kamajuan dan berusaha agar tidak ketinggalan terutamanya dari segi profession keguruan. Ini bermakna guru perlu berusaha untuk berfikiran maju dan berani mencipta satu inovasi dalam pendidikan.
Elemen yang ketiga iaitu bersedia menjunjung aspirasi negara. Aspirasi dalam kamus pelajar edisi kedua bermaksud keinginan atau kehendak yang kuat untuk mencapai sesuatu. Dalam konteks menjunjung aspirasi negara, guru sebagai agen yang bertindak untuk menjayakan aspirasi negara ini. Guru berperanan untuk mendidik generasi muda supaya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Guru perlulah benar-benar menghayati aspirasi negara yang dihasratkan supaya pembentukan modal insan kelas pertama dapat dilahirkan. Sebagai pendidik, guru perlu menerapkan kesemua aspek yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmonis.
Sekiranya modal insan yang dilahirkan tidak berkualiti, jadi aspirasi negara sudah pasti tidak dapat dicapai. Generasi muda yang akan dilahirkan oleh para guru inilah yang akan menjadi penggerak dan bersama-sama guru untuk menjunjung aspirasi negara Malaysia. Tambahan pula, guru perlu berusaha agar dapat menyumbang secara maksimum ke arah pencapaian aspirasi negara. Contohnya, guru perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan seperti mendidik pelajar dengan jujur, ikhlas dan amanah. Ada beberapa kes yang tidak sihat melibatkan guru, misalnya kes guru yang ponteng kelas, tidak berada di kelas yang sepatutnya tanpa alasan, dan ada juga guru yang menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jika kes-kes sebegini berterusan, di mana kredibiliti seorang guru yang sepatutnya menjunjung hasrat negara? Maka, melalui Falsafah Pendidikan Guru inilah yang bertindak untuk menjadi garis panduan dan pegangan untuk di setiap guru di Malaysia.
            Elemen seterusnya ialah bersedia menyanjung warisan kebudayaan negara. Negara kita, Malaysia kaya dengan pelbagai kebudayaan yang unik. Sebagai guru, kita perlulah menghayati warisan kebudayaan negara yang unik ini. Bukan sahaja dari segi adat resam, malah dari aspek kesenian, pakaian, peralatan tradisional, permainan tradisional, perubatan, sastera, seni bina dan juga seni halus. Kesemua aspek ini perlu dipelihara supaya warisan kebudayaan ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Seorang guru berperanan untuk memupuk sifat bangga terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar. Mereka perlu menghargai keunikan kebudayaan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.
Untuk menyemai perasaan bangga terhadap budaya yang pelbagai ini, guru boleh mengambil inisiatif seperti membuat aktiviti atau program yang berkaitan dengan kebudayaan. Misalnya, mewujudkan malam kebudayaan dan warisan di mana pada malam tersebut ditonjolkan budaya bagi setiap kaum yang ada di Malaysia. Secara tidak langsung, murid akan dapat mengetahui keunikan budaya kaum-kaum lain. Di sini, gurulah yang bertindak sebagai agen penggerak dalam memelihara warisan kebudayaan negara.
Guru juga perlu menyemai sifat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar. Sifat patriotisme dan cintakan negara ini penting untuk diterapkan dalam diri pelajar supaya mereka sanggup berjuang mempertahankan negara suatu masa nanti. Sekiranya guru tidak menerapkan sifat ini sebaik mungkin, tidak mustahil penjajah akan kembali mencari ruang dan peluang untuk menjajah semula negara. Guru tidak seharusnya berasa senang hati atas kemerdekaan yang telah kita kecapi selama 54 tahun ini.
Anasir-anasir luar sentiasa menantikan peluang untuk menjajah semula sekiranya kita lalai dan leka. Generasi muda yang bakal dilahirkan oleh warga pendidik inilah yang akan beruang untuk mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara pada masa akan datang. Jadi, guru perlu peka dalam menerapkan unsur patriotisme dalam diri pelajar. Pelajar yang hanya pintar dari sudut intelek tetapi tidak punyai semangat patriotisme hanya akan merosakkan negara.
Contohnya, pelajar yang mahir dalam bidang ekonomi, seharusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara tetapi sekiranya mereka tidak mempunyai semangat cintakan negara, berkemungkinan besar individu-individu yang cerdik pandai inilah akan menrosakkan negara misalnya dengan berkomplot dengan negara luar dalam usaha untuk menjatuhkan negara. Jadi, di sini amat jelas peranan guru yang sangat penting untuk menerapkan semangat patriotisme supaya keadaan seperti itu tidak akan berlaku pada negara yang tercinta ini.
Elemen yang kelima iaitu menjamin perkembangan individu. Guru bertanggungjawab untuk melahirnya individu yang seimbang dan harmonis seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Golemen (1995), kecerdasan intelek semata-mata tidak menjamin kebahagaian hidup seseorang individu. Malah, dengan hanya kecerdasan intelektual yang diberi penumpuan tidak mampu untuk melahirkan insan yang matang, tabah, berani, kuat, teguh dan rendah diri. (Muhamad Mahyudin Nafis, 2007). Individu yang seimbang merangkumi empat aspek utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.
            Gurulah yang berperanan untuk membentuk perkembangan murid secara menyeluruh iaitu merangkumi kesemua aspek yang telah dinyatakan. Bukan sahaja perkembangan murid perlu dtitik beratkan, sebaliknya guru itu sendiri perlu mempunyai kesemua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perkara utama yang perlu diamalkan oleh seorang guru ialah dengan sentiasa menghayati  Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sebagai guru berkualiti, kita mestilah lengkapkan diri dengan keempat-empat aspek yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu dari segi  Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).
Keperluan intelek yang perlu dimiliki terbahagi kepada beberapa aspek iaitu berilmu pengetahuan, mahir IT, menguasai Bahasa Inggeris dan mempunyai daya kreativiti dan inovatif. Cabaran pada hari ini memerlukan guru untuk  memiliki pelbagai ilmu pengetahuan dan kepakaran. Begitu juga dengan kemahiran dalam teknologi maklumat yang perlu dikuasai sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Guru juga perlu menguasai  Bahasa Inggeris  dengan baik kerana perkembangan sistem pendidikan negara masa kini memerlukan para guru  untuk menguasai bahasa  bahasa inggeris dengan baik. Seterusnya mempunyai daya kreativiti dan inovatif iaitu kebolehan untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu idea baru, serta kebolehan mengubahsuai sesuatu idea menjadi lebih menarik.
Guru yang berkualiti kerohaniannya terdiri daripada mereka yang memiliki sahsiah atau  tingkah laku yang baik dan terpuji. Di antara ciri-ciri seorang guru bersahsiah yang baik ialah menjalankan tugas tepat pada masanya,  ikhlas dalam menjalankan tugas, menghormati rakan guru serta  pelajar,  rajin dan lain-lain.  Nilaitara sahsiah atau tingkahlaku yang baik ini adalah terkandung di dalam  Etika dan Tatasusila Profesion Keguruan .guru juga perlu memiliki pegangan agama yang kukuh. Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, agama diletakkan di tempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat  akan menyebabkan seseorang guru itu bertanggungjawab terhadap tugasnya, berilmu, berprinsip serta amanah.
Seorang guru yang berkualiti jasmaninya ialah mempunyai penampilan dan imej diri yang baik, iaitu cara  berpakaian, tingkah laku dan tutur kata. Memiliki kesihatan tubuh badan yang baik agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Guru yang berkualiti juga harus memiliki kemahiran berkomunikasi iaitu semasa berhubung dengan pelajar, ibubapa, masyarakat  dan pihak pengurusan sekolah. Guru juga perlu mahir dalam sesuatu aktiviti sukan dan mana-mana unit beruniform. Ini bertujuan untuk melatih pelajar melibatkan diri dalam kokurikulum yang penting untuk pembentukan jati diri pelajar.
Aspek-aspek yang perlu dimiliki oleh seorang guru berkualiti dari segi emosi ialah sentiasa menghayati nilai-nilai murni, norma dan Etika Perkhidmatan. Guru juga perlu mempunyai pemikiran yang positif dalam menjalankan tugasnya   iaitu  menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai suatu ibadah tanpa sebarang alasan. Di samping itu, seorang guru juga hendaklah memiliki sikap akauntabiliti dalam menjalankan tugas agar sebarang tanggungjawab yang diberi dapat dijalankan dengan berkesan.
Elemen yang terakhir dalam Falsafah Pendidikan Guru ialah memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Guru mempunyai tanggungjawab sebagai ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara. Guru mestilah berusaha agar masyarakat dapat memenuhi aspirasi dan hasrat negara yang telah ditetapkan. Untuk menjayakan Falsafah Pendidikan Guru ini, guru perlu menjadikan diri mereka sebagai rol model kepada masyarakat kerana gurulah yang membentuk masyarakat itu. Guru yang berkualiti dan baik akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin selaras dengan hasrat dan aspirasi negara kita, Malaysia.
Falsafah Pendidikan Guru menghuraikan ciri-ciri guru yang diperlukan untuk memenuhi aspirasi negara dan Wawasan 2020. Justeru, guru mempunyai akauntibiliti yang tinggi terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara bagi memastikan sistem penyampaian ilmu, kemahiran dan nilai yang berkesan. Sehubungan dengan itu, guru hendaklah mempunyai sahsiah yang baik. Umpama pepatah Melayu, “bapak borek, anak rintik”. Jikalau anak meniru tingkah laku ayahnya di rumah, murid akan meniru tingkah laku guru mereka di sekolah. Tingkah laku seorang guru yang baik akan mempengaruhi tingkah laku murid yang diajar.

4 comments:

  1. informasi yang amat berguna.. minta izin untuk dijadikan rujukan tugasan ye..tq

    ReplyDelete
  2. minta izin untuk jadikan bahan rujukan :)

    ReplyDelete
  3. informasi yang bagus ..saye nak minta izin untuk diguna pakai dalam tugasan kuliah

    ReplyDelete
  4. minta izin nak jadikan bahan rujukan dan tugasan kumpulan. :)

    ReplyDelete