Friday, March 18, 2011

Tokoh 3-Ibn Sina

SUMBANGAN, PERANAN DAN PENCAPAIAN TOKOH-TOKOH ISLAM


Ibn Sina

Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenarnya Ibnu Sina ialah Abu Ali al - Hussain bin Abdullah bin Hassan bin Ali bin Sina atau dikenali dengan nama Avicenna di negara-negara Barat. Menurut Ibnu Abi Ushaybi’ah beliau lahir pada tahun 370 H bersamaan dengan 980M, di desa Afshanah dekat kota Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan. Beliau berbangsa Parsi.

Pelajaran pertama yang diterimanya seawal  usia 5 tahun adalah Al-Quran dan sastera yang didapati olehnya secara tidak formal. Ibn Sina merupakan seorang yang bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan agama dan juga keduniaan walaupun beliau dilahirkan dalam keluarga seorang pemungut cukai. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah dapat menghafal Al-Quran.

Disamping itu, pada usia 10 tahun juga, Ibnu Sina telah menguasai seluruh cabang ilmu pengetahuan yang ada pada waktu itu. Ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqh, perbandingan agama (usuluddin), tasawuf dan sebagainya sudah dikuasainya. Beliau mula belajar mengenai falsafah dengan membaca pelbagai tulisan seperti tulisan Greek, Muslim dan buku-buku lain mengenai subjek ini serta mempelajari logik dan subjek lain daripada Abu Abdullah Natili iaitu sahabat karib ayahnya dan juga seorang ahli falsafah terkenal pada waktu itu.

Antara bidang ilmu yang berjaya dikuasainya termasuklah dalam bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi. Ibn Sina memang merupakan seorang yang rajin membaca buku. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku "Metafizik Aristotle" sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.

Ketokohannya dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya dan terserlah semenjak kecil lagi. Ini kerana sewaktu berusia 18 tahun, beliau telah berjaya menyembuhkan Putera Raja Bukhara, Nuh Ibn Mansoor selepas semua pakar perubatan yang terkenal gagal dalam usaha tersebut. Beliau dilantik menjadi ‘Doktor Di Raja’ di atas kejayaannya itu dan diberi gelaran Al-Syeikh Al-Rais (Mahaguru Pertama). Raja Mansoor amat terhutang budi dan telah menawarkan hadiah yang lumayan kepadanya. Namun begitu, beliau menolak dan hanya meminta kebenaran untuk menggunakan perpustakaan Di Raja sahaja.

Sewaktu berumur 20 tahun iaitu selepas kematian ayahnya, beliau telah mengembara ke Juran dan bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni. Kemudian beliau berhijrah pula ke Hamadan. Di Hamadan, beliau mengarang kitab al-Qanun fit Tibb untuk mengubati Raja Hamdan iaitu Shams al-Daulah. Dari Hamadan beliau menuju pula ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang.

Beliau merancang untuk meneruskan pengembaraannya, namun terpaksa kembali semula ke Hamadan kerana faktor kesihatan. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sana pada bulan Ramadhan tahun 428 H bersamaan 1037M dalam usia 56 tahun. Sebagai mengenang jasa yang telah disumbangkan dalam ilmu perubatan, potret beliau telah digantungkan pada dinding Fakulti Perubatan Universiti Paris.

Pada usia 21 tahun, ketika berada di Kawarazm, beliau mulai menulis karyanya yang pertama yang berjudul "Al-Majmu" yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap. Kemudian beliau melanjutkan menulis buku-buku lain. Antara buku yang pernah dikarang Ibnu Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan dihimpun dalam satu buku besar yang berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo. Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fil– Tabib (Ensiklopedia Kedoktoran Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al-Qanun Fil Tabib telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul ‘Precepts of Medicine’. Ibnu Sina merupakan perintis pengenalan kepada penyakit saraf yang mana bukunya, Al- Qanun Fit-Tibb telah membincangkan serta mengenengahkan mengenai penyakit saraf. Buku tersebut juga telah mengajar mengenai cara-cara pembedahan dimana telah menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan-keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang luas.

Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas di universiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.

Selain itu, Ibn Sina juga merupakan seorang doktor perubatan pertama yang mencatatkan bahawa penyakit paru-paru adalah (pulmonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh berjangkit (contagious). Di samping itu beliau
turut menceritakan dengan tepat tanda-tanda (symptoms) penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang timbul darinya. Beliau amat berminat dalam bidang yang berkaitan dengan kesan akal ke atas jasad serta telah banyak menulis mengenai gangguan psikologi.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul ‘Remedies for The Heart’ yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Daripada maklumat yang diperolehi, Ibn Sina telah menghasilkan sebanyak 250 buah karya yang masih kekal sehingga ke hari ini, termasuklah 116 buah karya dalam bidang ilmu perubatan. Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan saham terhadap dunia ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya. Antara sumbangan beliau adalah di dalam bidang geografi, geologi, kimia dan kosmologi.

Di samping pakar dalam bidang kedoktoran, Ibnu Sina merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan beliau mampu mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu di mana gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Heredotus, Aristoteles sehinggalah Protolemaious. Menurut Ibnu Sina " gunung-ganang yang memang letaknya tinggi iaitu lingkungan mahupun lapisannya dari kulit bumi, maka apabila ia diterajang lalu berganti rupa dikarenkan oleh sungai-sungai yang meruntuhkan pinggiran-pinggirannya. Akibat proses seperti ini, maka terjadilah apa yang disebut sebagai lembah-lembah."

Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi , kimia serta kosmologi memang tidak disangsikan lagi. Menurut  A.M.A Shushtery, karangan Ibnu Sina mengenai ilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Dalam bidang kimia , beliau juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanafaat. Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain. Setiap logam terdiri dari berbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu Hayyan, Bapa Kimia Muslim.

Ibnu Sina pernah di beri gelaran sebagai "Medicorum Principal" atau "Raja Diraja Doktor" oleh kaum Latin Skolastik. Antara gelaran lain yang pernah diberikan kepadanya adalah sebagai "Raja Ubat". Malahan dalam dunia Islam, beliau dianggap sebagai "Zenith", puncak tertinggi dalam ilmu kedoktoran. Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh.

Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku-buku beliau adalah menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar). Misalnya digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat dan bumi adalah persegi dan dengan demikian kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi. Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun, dengan itu manusia memiliki empat tangkai dan lengan (anggota badan) mempunyai 12 tulang sendi. Limpa dan perut sebagai ‘bumbung’ sedangkan usus merupakan sistem komunikasi dan sistem pembuangan.

Sementara itu "Canon of Medicine" memuatkan pernyataan yang tegas bahawa "darah mengalir secara terus-menerus dalam suatu lingkaran dan tak pernah berhenti" . Namun ini belum dapat dianggap sebagai suatu penemuan tentang srikulasi darah, kerana bangsa cina tidak membezakan antara urat-urat darah halus (Veins) dengan pembuluh nadi (arteries). Analogi tersebut hanyalah analogi yang digambarkan antara gerakan darah dan siklus alam semesta, pergantian musim dan gerakan-gerakan tubuh tanpa peragaan secara empirik pada keadaan yang sebenarnya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.

Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan. Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh Al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan Al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu Al-Farabi.

Dalam rangka memperingati 1000 tanun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 M ia telah dinobatkan sebagai "Father of Doctor" untuk selamanya-selamanya , dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang terkemudian merasa megah kalau dimakamkan di tanah perkuburan di mana "zeninth" itu dimakamkan.

No comments:

Post a Comment