Friday, March 18, 2011

Tokoh 5-Ibn Khaldun

SUMBANGAN, PERANAN DAN PENCAPAIAN TOKOH-TOKOH ISLAM


Ibn Khaldun

Nama sebenar beliau ialah Abu Zayd ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami. Beliau lebih dikenali sebagai Ibnu Khaldun. Beliau adalah seorang sejarawan muslim dari Tunisia dan sering disebut sebagai bapa ilmu historiografisosiologi dan ekonomi. Beliau dilahirkan di Tunisia pada 27 Mei 1332 Masihi bersamaan tahun 732 Hijrah di dalam sebuah keluarga yang berketurunan Arab di mana nasabnya sampai kepada seorang sahabat yang bernama Wa'il bin Hajar. Asal-usul keturunan beliau sampai kepada Kabilah Yaman di Hadhramaut. Datuk nenek beliau telah berhijrah ke Qarmunah di Andalus. Orang pertama yang memasukinya dari kalangan datuk nenek mereka ialah Khalid bin Othman.

Beliau digelarkan dengan Ibnu Khaldun dengan menambah huruf wau dan nun ke dalam nama Khalid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh penduduk Andalusia. Bapa beliau adalah merupakan seorang yang fakih di mana dia mengorbankan seluruh kehidupannya untuk fekah dan sastera. Ibnu Khaldun dibesarkan di Tunisia di mana beliau memulakan kehidupan beliau dengan menghafal kitab suci Al-Quran dan tajwid sebagaimana beliau juga turut mempelajari pelbagai disiplin ilmu Arab dan syariah serta bahasa Arab melalui bapa beliau. Bapa beliau sentiasa mengambil berat supaya Ibnu Khaldun berguru dengan ulama-ulama yang mahir di dalam bidang-bidang tertentu untuk mempelajari ilmu tersebut pada zamannya. Pada peringkat awal usia beliau, Ibnu Khaldun bekerja di jabatan kerajaan dalam jangka masa yang agak lama. Sejak Tunisia dilanda wabak taun pada tahun 749 hijrah,Ibnu Khaldun berpindah ke beberapa tempat iaitu Algeria, Fez, Granada, Bougie, dan Mesir.

Ibnu Khaldun memulakan pengembaraannya setelah meninggalkan Tunisia menuju ke Biskara di Algeria seterusnya beliau menetap di sana kemudian beliau merantau lagi dari sana ke Constantinople setelah itu beliau berhijrah pula ke Fes dengan meninggalkan keluarga beliau di Constantinople. Beliau menetap di Fes di mana pada masa tersebut Fes merupakan pusat ilmu pengetahuan di negara Islam Morocco. Semasa menetap di Fes, Ibnu Khaldun sangat tekun membuat penyelidikan, membaca serta berjumpa dengan ilmuan-ilmuan dari kalangan penduduk Morocco dan Andalusia di samping mengunjungi perpustakaan-perpustakaan yang terdapat di Fes untuk memperluas pembacaannya dan merealisasikan keinginannya di lapangan ilmu. Dalam tempoh tersebut beliau telah berjaya menggariskan rangka kasar "Mukadimah" kitabnya "Al-Ibar". Kemudian Ibnu Khaldun merantau ke Andalusia seterusnya beliau merantau pula ke Algeria. Di sana beliau bertugas sebagai penasihat Sultan dan khatib di Jamie' Al-Qasabah serta mengajar ilmu agama di Jamie' tersebut di samping kerja-kerja beliau di dalam lapangan politik.

Setelah berlalu tujuh tahun, beliau merantau pula ke Telmesen bersama dengan keluarganya kemudian beliau berhijrah pula ke Fes. Semasa menetap di sana beliau tekun membaca dan mengajar ilmu agama. Seterusnya beliau merantau sekali lagi ke Andalusia seorang diri dengan meninggalkan keluarga beliau di Fes. Kemudian beliau memasuki Granada setelah itu beliau keluar semula dan kembali ke Morocco. Ibnu Khaldun sempat berjumpa sekali lagi dengan keluarga beliau di Telmesen. Beliau tekun mengarang dan membaca untuk beberapa ketika semasa berada di sana kemudian beliau meninggalkan tempat tersebut menuju ke Kota Bani Salamah di Algeria seterusnya beliau tinggal di sana selama empat tahun dan dalam tempoh tersebut yang penuh dengan ketenangan dan keheningan beliau sempat mengarang sebuah kitab yang bertajuk "Al-Ibar". Setelah itu beliau menyunting kitab tersebut serta melampirkannya dengan sejarah pelbagai bangsa seterusnya beliau kembali semula ke Tunisia.

Ketika Menetap di Kaherah, pada tahun 784 Hijrah Ibnu Khaldun berazam untuk menunaikan ibadat haji di Baitullah. Lantas beliau menaiki kapal menggunakan jalan laut selama 40 hari sehinggalah beliau tiba di Iskandariah. Ketibaan beliau di sana tepat sepuluh hari selepas Raja Az-Zahir Barquq ditabalkan menjadi Raja memegang teraju pemerintahan kerajaan Mesir dan beliau tidak dapat mengerjakan ibadat haji pada tahun tersebut menyebabkan beliau membatalkan hasrat tersebut dengan merantau ke Kaherah. Semasa berada di Kaherah beliau sentiasa dikunjungi oleh penuntut-penuntut ilmu lantas beliau mengajar di Jamie' Al-Azhar menyebabkan kedudukan beliau terus melonjak tinggi dan dihormati oleh Sultan Barquq. Setelah beberapa ketika beliau berada di Kaherah, beliau menghantar surat kepada keluarga beliau meminta supaya datang ke Kaherah, tetapi Sultan Tunisia menolak permintaan tersebut kerana dia masih mengharapkan semoga Ibnu Khaldun kembali semula ke sana. Persoalan ini mendapat perhatian daripada Sultan Barquq di mana Sultan Barquq bersetuju menulis surat kepada Sultan Tunisia mengemukakan permintaan tersebut. Kemudian Ibnu Khaldun dilantik menjadi guru di sekolah Al-Qamhiyyah yang terletak di pinggir Masjid Amru bin Al-As kemudian beliau dilantik pula sebagai seorang Qadi mazhab Maliki di Mesir. Dalam tempoh tersebut keluarganya datang dari Tunisia di dalam sebuah kapal kemudian kapal tersebut ditimpa ribut taufan sehinggalah kapal tersebut tenggelam menyebabkan kesemua keluarga beliau mati lemas.

Peristiwa tersebut menyebabkan beliau terlalu sedih malah peristiwa tersebut merupakan musibah yang sangat besar kepada beliau menyebabkan beliau berazam untuk meletak jawatannya dan beliau mendapati tidak ada sesuatu yang boleh menghiburkan hati beliau selain dari mengorbankan diri beliau untuk ilmu, mengajar, membaca dan mengarang. Beliau tinggal di Mesir selama hampir 24 tahun. Beliau tidak pernah meninggalkan negara Mesir kecuali sekali untuk mengerjakan ibadat haji, manakala kali kedua untuk menziarahi Baitulmuqaddis dan kali ketiga pula ialah untuk berjumpa dengan Timurlank di Syam.

Keperibadian yang dapat dilihat pada ibnu khaldun ialah beliau seorang yang tekun dalam menuntut ilmu. Walaupun beliau sibuk dengan tugas pentadbiran, namun tidak menghalangnya untuk menuntut ilmu. Beliau bijak membahagi masa dan menyelesaikan masalah untuk masyarakat dan menuntut ilmu. Beliau seorang yang berjiwa pemimpin. Beliau jugak tegas dalam menjalankan tugas. Beliau pernah menjawat jawatan penting seperti ketua hakim di Mesir dan Perdana Menteri di Bougie. Semua jawatan ini diberikan kerana kecekapannya dalam mentadbir serta keupayaannya mengemukakan idea-idea untuk kemajuan negara. Beliau seorang yang berkebolehan dalam bidang sosiologi dan kreatif. Karyanya yang terkenal adalah Muqaddimah. Pemikiran Ibnu Khaldun dalam kitab Al-Muqaddimah adalah hasil daripada pengalaman dan kreativiti beliau untuk mengetengahkan sejarah sebagai bidang ilmu yang tersendiri. Buku ini dijadikan bahan kajian oleh sarjana- sarjana timur dan barat hingga ke hari ini. Ibnu Khaldun meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada tahun 808 hijrah bersamaan dengan tahun 1406 Masihi ketika berusia 87 tahun.

Penglibatan Ibnu Khaldun selama 20 tahun dalam bidang pentadbiran mematangkan pemikiran dan pengalaman beliau. Hasil kombinasi pengalaman, ilmu pengetahuan, dan kreativiti, beliau menghasilkan karya-karya yang bermutu seperti Al-Ibar Wa Diwan Al-Mubtada Wal Khabar Fi Ayamil Arab Wal Ajam Wal Babrar Wa Man Asarahum Min Zawi Al-Sultan Al-Akbar yang lebih dikenali sebagai Muqaddimah Ibnu Khaldun. Kemudian kitab Al-Takrif Bi Ibni Khaldun Wa Rihlatuhu Gharban Wa Syargan. Walaubagaimanapun, Muqaddimah Ibnu Khaldun lebih berkualiti dan berpengaruh kepada pemikiran manusia. Beliau berjaya memurnikan ilmu sejarah dengan menjadikan rasional sebagai kayu ukur fakta sejarah tanpa fanatik kepada sesuatu laporan yang tidak terbukti kebenarannya. Beliau menggariskan empat perkara yang perlu dilakukan oleh sejarawan dalam penelitian dan analisis laporan sejarah, iaitu mambandingkan antara peristiwa-peristiwa dangan berdasarkan kaedah sebab dan munasabah, mengkaji peristiwa-peristiwa lalu untuk dijadikan ikhtibar kepada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku, mengambil kira pengaruh iklim dan alam sekitar terhadap apa yang berlaku, seterusnya mengambil kira kedudukan ekonomi dan budaya terhadap peristiwa yang berlaku.

Ibnu khaldun banyak meninggalkan sumbangan yang bernilai kepada tamadun manusia. Beliau Berjaya menganalisis sejarah dari aspek kemasyarakatan, ekonomi, politik dan pendidikan dalam karyanya. Beliau telah ,memberi panduan terbaik kepada manusia tentang asas pembinaan sesebuah tamadun. Beliau berpendapat bahawa sesebuah tamadun tertegak di atas hasil kombinasi diantara keunggulan rohani dengan jasmani. Ibnu Khaldun merupakan pelopor kepada pemikiran-pemikiran moden khususnya dalam bidang sejarah, politik, ekonomi, sosiologi,dan pendidikan. Kejayaan Ibnu Khaldun itu mendorong para saujana mengiktiraf karya beliau sebagai bahan kajian dan rujukan dalam bidang-bidang tersebut. Beliau disanjungi hingga ke hari ini. Pemikiran beliau sering dijadikan wacana, tema-tema seminar,bengkal dan persidangan ilmiah, serta judul-judul buku dan tesis di peringkat pengajian tinggi. Sebuah anugerah ilmiah yang berprestij dinamakan sempena nama beliau iaitu Ibnu Khaldun Chair Of Islamic Studies di Universiti Amerika. Nama Ibnu Khaldun diabadikan dalam sebuah universiti terkemuka di Jakarta Indonesia iaitu Universiti Ibnu Khaldun.

Ibnu Khaldun sebagai sejarawan, beliau menganalisis sesuatu tamadun dari segi permulaan, faktor kegemilangan dan kejatuhan. Beliau memberi tafsiran sejarah berdasarkan psikologi, ekonomi, sosial, alam sekitar dan geografi. Ideanya yang menarik dalam kitab Al-Muqaddimah mendorong para pengkaji dan pemikir untuk mengiktiraf beliau sebagai tokoh sarjana dan sejarawan yang mengatasi sejarawan terkenal sebelumnya seperti Al Tabari dan Al-Mas`udi.

Ibnu Khaldun sebagai negarawan, beliau merupakan negarawan yang banyak berjasa untuk negara. Beliau pernah menyandang jawatan- jawatan penting seperti setiausaha negara di istana Sultan Abu Ishaq bin Abi Yahya dan Sultan Abu Annan, anggota Majlis Ilmiah, anggota Jabatan Setiausaha Sulit Sultan Abu Salim bin abi Al-Hasan di Fez, Maghribi, duta Granada, Perdana Menteri (hajib) bougie, ketua hakim (Qadi Al-Qudhah) Mesir. Jawatan-jawatan penting tersebut telah memberi peluang kepada Ibnu Khaldun untuk berkhidmat kepada negara dengan berkesan.

Ibnu Khaldun sebagai budayawan, beliau merupakan penggiat budaya dan kesusasteraan Arab. Pengajian kesusteraannya dengan Syeikh Muhammad Bahr di Tunisia dimanfaatkan untuk menajamkan kemahirannya dalam syair. Beliau banyak menghasilkan syair semenjak kanak-kanak lagi. Kemahiran beliau dalam bidang ini jelas kelihatan dalam kitab Al-Muqaddimah ketika beliau membahaskan tentang syair Arab.

Ibnu Khaldun mendapat pendidikan awal dari bapanya tentang asas-asas agama seperti al-Quran, feqah, hadith dan tauhid. Beliau mula menghafaz al-Quran sejak kecil. Apabila dewasa beliau belajar lingustik bahasa Arab seperti nahu dan sorof, usuluddin dan kesusasteraan. Beliau juga mempelajari ilmu tafsir, hadis, usul fikh tauhid, bahasa arab, nahu, saraf, balaghah, sastera, mantiq, falsafah, matematik, sains, dan sejarah dari beberapa orang ulama' terkemuka pada masa itu. Guru beliau yang utama ialah Muhammad b. Abdul Muhaimin. Beliau juga turut berguru dengan Abu Abdullah Muhammad b. Ibrahim Al-Abla yang mengajarnya tentang siosologi, politik dan pendidikan. Semasa di Fez, Ibnu Khaldun mendapat pendidikan tinggi daripada beberapa orang guru yang terkenal seperti Ahmad bin Al-Qassar dan Lisanuddin bin Al-khatib iaitu pengarang kitab Tarikh Gharnatah (sejarah Granada) dan Muhammad bin Abdul Salam. Beliau pakar dalam bidang ilmu kemasyarakatan, pendidikan, keagamaan, tamadun, undang-undang, falsafah. Beliau hanya meninggalkan beberapa buah sahaja kitab hasil karangan beliau di mana yang paling terkemuka ialah kitab Al-Ibar Wa Diwan Al-Mubtada' Wal Khabar Fi Ayyam Al-Arab Wal Ajam Wal Barbar. Di antara pencapaian terbesar beliau ialah, beliau merupakan pengasas sebenar ilmu kemasyarakatan, ilmu seni bina bangunan dan juga pengasas ilmu sejarah.

No comments:

Post a Comment