Soalan 1:
Huraikan secara ringkas lima (5) aspek potensi manusia mengikut fitrah kejadian manusia.
Potensi dikaitkan dengan bakat manusia yang menjadi salah satu aspek daripada fitrah manusia. Dengan kata lain, potensi merupakan kebolehan manusia melakukan aktiviti selaras dengan fitrah yang ada padanya. Potensi manusia boleh ditinjau dari aspek-aspek jasmani, emosi, rohani, intelek (mental) dan sosial. Potensi bagi setiap manusia adalah berbeza-beza. Ini adalah kerana tidak ramai yang mendapat peluang untuk mengoptimumkan potensi mereka dalam kehidupan.
Potensi manusia yang pertama ialah perkembangan jasmani. Perkembangan jasmani merujuk kepada kebolehan dan keupayaan fizikal atau kemahiran psikomotor dalam aktiviti permainan dan bersukan.
Kedua, potensi manusia boleh dihuraikan dari aspek perkembangan emosi. Perkembangan emosi individu dilihat sebagai suatu keadaan apabila seseorang itu dapat memahami perasaan diri sendiri dan orang lain. Dengan itu, manusia berupaya untuk mencapai kesedaran, keinsafan, sikap bertanggungjawab dan boleh dipercayai. 
Seterusnya, dari aspek perkembangan rohani. Aspek ini merujuk kepada kepercayaan beragama, nilai dan norma masyarakat serta perlakuan peribadi individu. Individu yang mempunyai pegangan agama, nilai dan moral yang baik akan membentuk tenaga penggerak dalam jiwa dan perasaan dalaman yang akan melahirkan perilaku manusia yang baik. 
Potensi keempat ialah perkembangan intelek. Potensi intelek individu boleh dilihat daripada daya pemikiran, cara seseorang itu berfikir untuk menyelesaikan masalah, mereka cipta dan menaakul. 
Yang terakhir ialah perkembangan sosial. Aspek ini merujuk kepada hubungan individu dengan orang lain. Ini bermakna budi pekerti yang baik dan tingkah laku sopan membolehkan individu tersebut diterima baik oleh orang lain. Ini akan meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi dengan individu lain dalam masyarakat sekitarnya. 
Soalan 2:
Huraikan secara ringkas empat implikasi kejadian manusia dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pendidikan merupakan  medium yang menyediakan pelbagai peluang untuk memperkembang potensi  yang ada dalam diri individu. Persekitaran pembelajaran yang berkesan  akan mempengaruhi keupayaan seseorang untuk memahami dan bertindak balas  dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 
Guru  berperanan dalam membantu kanak-kanak menyerlahkan potensi yang  terpendam serta menyedari kebolehan diri sendiri. Antara implikasi  kejadian manusia dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah guru  perlu menyediakan pelbagai aktiviti kognitif yang dapat mengilap potensi  intelek kanak-kanak. Contohnya dalam menyelesaikan masalah  Matematik Tahun 1, kemahiran mengira menggunakan objek dapat  mengembangkan potensi murid untuk berfikir secara logik.
Aktiviti  kokurikulum di sekolah seperti pasukan beruniform, membantu murid  mengembangkan potensi dari segi bakat, sahsiah dan emosi yang baik. Misalnya, sifat tolak  ansur dan tolong-menolong dapat dipupuk menerusi aktiviti penyelesaian  masalah atau tugasan secara berkumpulan. Hal ini dapat meningkatkan  keyakinan diri murid untuk menjadi seorang pemimpin. 
Guru  perlu memperkukuhkan kekuatan dalaman murid. Contohnya, kesediaan  dan kesungguhan murid dalam melaksanakan tugasan atau menjawab soalan.  Elakkan daripada membesarkan kelemahan murid. Hargai setiap komitmen  yang diberi oleh murid kerana ia akan merangsang mereka untuk terus  belajar dan berusaha.   
Aspirasi  sekolah yang turut menekankan kepada kecemerlangan sukan, turut  membantu murid-murid mengembangkan potensi jasmani. Ini bermakna murid  berpeluang mempamerkan kemahiran psikomotor yang ada pada diri mereka.  Misalnya dalam permainan tenis atau badminton, murid-murid berupaya  melakukan servis, memulangkan bola dengan tepat dan berupaya mengawal  permainan di dalam gelanggang.

No comments:
Post a Comment