Falsafah Pendidikan Guru dirangka untuk membentuk guru
yang berkualiti selaras dengan objektif pendidikan kebangsaan. Dalam Falsafah
Pendidikan Guru, terdapat beberapa aspek atau ciri kualiti yang ingin dibentuk dalam
diri guru yang berperanan sebagai agen perubahan kepada generasi masa hadapan.
Antaranya ialah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menjunjung aspirasi negara, menyanjung
warisan kebudayaan negara, menjalin perkembangan individu, memelihara suatu
masyarakat yang bersatu padu, memelihara suatu masyarakat yang demokratik, memelihara
suatu masyarakat yang progresif dan memelihara suatu masyarakat yang
berdisiplin.
Elemen yang pertama iaitu
berpekerti mulia. Pekerti yang mulia merujuk kepada sahsiah seseorang guru.
Guru yang bertindak sebagai agen perubahan pelajar perlu terlebih dahulu
menunjukkan sahsiah yang baik supaya murid dapat mencontohi keperibadian guru.
Antara sahsiah yang boleh ditonjolkan
ialah seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin dan bermoral. Sekiranya
seorang guru tidak menunjukkan disiplin yang mantap misalnya merokok dalam
kawasan sekolah, sudah semestinya menjadi teladan yang tidak baik untuk
pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar yang baru meningkat dewasa mudah terpengaruh
dengan keadaan sekeliling.
Jadi sekiranya guru merokok
di kawasan sekolah, pelajar akan turut sama melanggar disiplin sekolah dengan
menghisap rokok. Mungkin budaya merokok dianggap mudah tetapi budaya inilah
yang akan mendorong pelajar-pelajar untuk melakukan lebih banyak masalah di
sekolah seperti gangsterisme dan vanderlisme. Kebelakangan ini banyak terjadi
kes-kes yang melibatkan guru, contohnya guru mencabul pelajar di sekolah.
Hal-hal sebegini tidak seharusnya berlaku sekiranya guru mempunyai pekerti yang
baik. Guru berperanan menjadi contoh teladan kepada pelajar tetapi dalam masa
yang sama telah memusnahkan kepercayaan pelajar itu terhadap guru. Justeru,
bagaimanakah aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru mampu
tercapai. Maka, elemen pekerti yang mulia dalam kalangan guru diterapkan dalam
Falasafah Pendidikan Guru supaya aspirasi negara dapat dicapai.
Elemen kedua iaitu berpandangan
progresif dan saintifik. Progresif dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sentiasa
bergerak maju dan bertujuan untuk mencapai kemajuan, manakala saintifik pula
bermaksud suatu kaedah yang teratur atau bersistem. Selaras dengan matlamat
wawasan 2020 yang dihuraikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu bagi
mewujudkan masyarakat saintifik yang progresif, masyarakat yang mempunyai daya
perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna
teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
Seorang guru mestilah bergerak maju dan bersistem atau dengan kata lain seorang
guru perlu berkembang mengikut peredaran zaman yang kini memberi penekanan kepada
sains dan teknologi.
Dunia tanpa sempadan memaksa
guru-guru bersifat progesif tetutama untuk mendidik pelajar-pelajar di sekolah.
Contohnya, jika zaman dahulu, pelajar hanya mengharapkan bimbingan dari guru
dalam pelajaran tetapi dengan kemajuan teknologi masa kini, pelajar boleh
belajar walaupun tidak ada guru untu memantau. Guru juga mudah untuk mencari
maklumat dengan menggunakan teknologi. Sebaliknya jika seorang guru itu tidak
progresif selaras dengan kemajuan negara, sudah pasti guru tersebut akan
ketinggalan dalam bidang perguruan itu sendiri. Seorang guru yang progresif dan
saintifik mestilah bergerak seiring dengan kamajuan dan berusaha agar tidak ketinggalan
terutamanya dari segi profession keguruan. Ini bermakna guru perlu berusaha
untuk berfikiran maju dan berani mencipta satu inovasi dalam pendidikan.
Elemen yang ketiga iaitu bersedia
menjunjung aspirasi negara. Aspirasi dalam kamus pelajar edisi kedua bermaksud
keinginan atau kehendak yang kuat untuk mencapai sesuatu. Dalam konteks
menjunjung aspirasi negara, guru sebagai agen yang bertindak untuk menjayakan
aspirasi negara ini. Guru berperanan untuk mendidik generasi muda supaya dapat
menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Guru perlulah benar-benar menghayati
aspirasi negara yang dihasratkan supaya pembentukan modal insan kelas pertama
dapat dilahirkan. Sebagai pendidik, guru perlu menerapkan kesemua aspek yang
ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu
yang seimbang dan harmonis.
Sekiranya modal insan yang
dilahirkan tidak berkualiti, jadi aspirasi negara sudah pasti tidak dapat
dicapai. Generasi muda yang akan dilahirkan oleh para guru inilah yang akan
menjadi penggerak dan bersama-sama guru untuk menjunjung aspirasi negara
Malaysia. Tambahan pula, guru perlu berusaha agar dapat menyumbang secara
maksimum ke arah pencapaian aspirasi negara. Contohnya, guru perlu menjalankan
tanggungjawab yang diamanahkan seperti mendidik pelajar dengan jujur, ikhlas
dan amanah. Ada beberapa kes yang tidak sihat melibatkan guru, misalnya kes
guru yang ponteng kelas, tidak berada di kelas yang sepatutnya tanpa alasan,
dan ada juga guru yang menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jika kes-kes
sebegini berterusan, di mana kredibiliti seorang guru yang sepatutnya
menjunjung hasrat negara? Maka, melalui Falsafah Pendidikan Guru inilah yang
bertindak untuk menjadi garis panduan dan pegangan untuk di setiap guru di Malaysia.
Elemen
seterusnya ialah bersedia menyanjung warisan kebudayaan negara. Negara kita,
Malaysia kaya dengan pelbagai kebudayaan yang unik. Sebagai guru, kita perlulah
menghayati warisan kebudayaan negara yang unik ini. Bukan sahaja dari segi adat
resam, malah dari aspek kesenian, pakaian, peralatan tradisional, permainan
tradisional, perubatan, sastera, seni bina dan juga seni halus. Kesemua aspek
ini perlu dipelihara supaya warisan kebudayaan ini dapat dinikmati oleh
generasi akan datang. Seorang guru berperanan untuk memupuk sifat bangga
terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar. Mereka perlu menghargai
keunikan kebudayaan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.
Untuk menyemai perasaan
bangga terhadap budaya yang pelbagai ini, guru boleh mengambil inisiatif
seperti membuat aktiviti atau program yang berkaitan dengan kebudayaan.
Misalnya, mewujudkan malam kebudayaan dan warisan di mana pada malam tersebut
ditonjolkan budaya bagi setiap kaum yang ada di Malaysia. Secara tidak
langsung, murid akan dapat mengetahui keunikan budaya kaum-kaum lain. Di sini,
gurulah yang bertindak sebagai agen penggerak dalam memelihara warisan
kebudayaan negara.
Guru juga perlu menyemai
sifat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar. Sifat patriotisme dan
cintakan negara ini penting untuk diterapkan dalam diri pelajar supaya mereka
sanggup berjuang mempertahankan negara suatu masa nanti. Sekiranya guru tidak
menerapkan sifat ini sebaik mungkin, tidak mustahil penjajah akan kembali
mencari ruang dan peluang untuk menjajah semula negara. Guru tidak seharusnya
berasa senang hati atas kemerdekaan yang telah kita kecapi selama 54 tahun ini.
Anasir-anasir luar sentiasa
menantikan peluang untuk menjajah semula sekiranya kita lalai dan leka.
Generasi muda yang bakal dilahirkan oleh warga pendidik inilah yang akan
beruang untuk mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara pada masa akan
datang. Jadi, guru perlu peka dalam menerapkan unsur patriotisme dalam diri
pelajar. Pelajar yang hanya pintar dari sudut intelek tetapi tidak punyai
semangat patriotisme hanya akan merosakkan negara.
Contohnya, pelajar yang
mahir dalam bidang ekonomi, seharusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara
tetapi sekiranya mereka tidak mempunyai semangat cintakan negara, berkemungkinan
besar individu-individu yang cerdik pandai inilah akan menrosakkan negara
misalnya dengan berkomplot dengan negara luar dalam usaha untuk menjatuhkan
negara. Jadi, di sini amat jelas peranan guru yang sangat penting untuk
menerapkan semangat patriotisme supaya keadaan seperti itu tidak akan berlaku
pada negara yang tercinta ini.
Elemen yang kelima iaitu menjamin
perkembangan individu. Guru bertanggungjawab untuk melahirnya individu yang
seimbang dan harmonis seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Menurut Golemen (1995), kecerdasan intelek semata-mata tidak menjamin
kebahagaian hidup seseorang individu. Malah, dengan hanya kecerdasan
intelektual yang diberi penumpuan tidak mampu untuk melahirkan insan yang
matang, tabah, berani, kuat, teguh dan rendah diri. (Muhamad Mahyudin Nafis,
2007). Individu
yang seimbang merangkumi empat aspek utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan
intelek.
Gurulah
yang berperanan untuk membentuk perkembangan murid secara menyeluruh iaitu
merangkumi kesemua aspek yang telah dinyatakan. Bukan sahaja perkembangan murid
perlu dtitik beratkan, sebaliknya guru itu sendiri perlu mempunyai kesemua
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perkara utama yang perlu
diamalkan oleh seorang guru ialah dengan sentiasa menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sebagai
guru berkualiti, kita mestilah lengkapkan diri dengan keempat-empat aspek yang
terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).
Keperluan intelek yang perlu
dimiliki terbahagi kepada beberapa aspek iaitu berilmu pengetahuan, mahir IT,
menguasai Bahasa Inggeris dan mempunyai daya kreativiti dan inovatif. Cabaran
pada hari ini memerlukan guru untuk memiliki
pelbagai ilmu pengetahuan dan kepakaran. Begitu juga dengan kemahiran dalam
teknologi maklumat yang perlu dikuasai sebagai pemangkin ke arah menghasilkan
pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Guru juga perlu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana perkembangan sistem
pendidikan negara masa kini memerlukan para guru untuk menguasai bahasa bahasa inggeris dengan baik. Seterusnya
mempunyai daya kreativiti dan inovatif iaitu kebolehan untuk mencipta dan
menghasilkan sesuatu idea baru, serta kebolehan mengubahsuai sesuatu idea menjadi
lebih menarik.
Guru yang berkualiti
kerohaniannya terdiri daripada mereka yang memiliki sahsiah atau tingkah laku yang baik dan terpuji. Di antara ciri-ciri seorang guru
bersahsiah yang baik ialah menjalankan tugas tepat pada masanya, ikhlas dalam menjalankan tugas, menghormati
rakan guru serta pelajar, rajin dan lain-lain. Nilaitara sahsiah atau tingkahlaku yang baik
ini adalah terkandung di dalam Etika dan
Tatasusila Profesion Keguruan .guru juga perlu memiliki pegangan agama yang
kukuh. Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, agama diletakkan di
tempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat
akan menyebabkan seseorang guru itu bertanggungjawab terhadap tugasnya,
berilmu, berprinsip serta amanah.
Seorang guru yang berkualiti
jasmaninya ialah mempunyai penampilan dan imej diri yang baik, iaitu cara berpakaian, tingkah laku dan tutur kata.
Memiliki kesihatan tubuh badan yang baik agar dapat menjalankan tugas dengan
berkesan. Guru yang berkualiti juga harus memiliki kemahiran berkomunikasi
iaitu semasa berhubung dengan pelajar, ibubapa, masyarakat dan pihak pengurusan sekolah. Guru juga perlu
mahir dalam sesuatu aktiviti sukan dan mana-mana unit beruniform. Ini bertujuan
untuk melatih pelajar melibatkan diri dalam kokurikulum yang penting untuk pembentukan
jati diri pelajar.
Aspek-aspek yang perlu
dimiliki oleh seorang guru berkualiti dari segi emosi ialah sentiasa menghayati
nilai-nilai murni, norma dan Etika Perkhidmatan. Guru juga perlu mempunyai
pemikiran yang positif dalam menjalankan tugasnya iaitu
menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja
mengajar sebagai suatu ibadah tanpa sebarang alasan. Di samping itu, seorang
guru juga hendaklah memiliki sikap akauntabiliti dalam menjalankan tugas agar
sebarang tanggungjawab yang diberi dapat dijalankan dengan berkesan.
Elemen yang terakhir dalam
Falsafah Pendidikan Guru ialah memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin. Guru mempunyai tanggungjawab sebagai
ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara. Guru mestilah berusaha
agar masyarakat dapat memenuhi aspirasi dan hasrat negara yang telah ditetapkan.
Untuk menjayakan Falsafah Pendidikan Guru ini, guru perlu menjadikan diri
mereka sebagai rol model kepada masyarakat kerana gurulah yang membentuk
masyarakat itu. Guru yang berkualiti dan baik akan melahirkan masyarakat yang
bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin selaras dengan hasrat dan
aspirasi negara kita, Malaysia.
Falsafah Pendidikan Guru menghuraikan
ciri-ciri guru yang diperlukan untuk memenuhi aspirasi negara dan Wawasan 2020.
Justeru, guru mempunyai akauntibiliti yang tinggi terhadap murid, ibu bapa,
masyarakat dan negara bagi memastikan sistem penyampaian ilmu, kemahiran dan
nilai yang berkesan. Sehubungan dengan itu, guru hendaklah mempunyai sahsiah
yang baik. Umpama pepatah Melayu, “bapak borek, anak rintik”. Jikalau anak
meniru tingkah laku ayahnya di rumah, murid akan meniru tingkah laku guru
mereka di sekolah. Tingkah laku seorang guru yang baik akan mempengaruhi
tingkah laku murid yang diajar.